Nikmat belajar sepanjang hayat
Bersama Mior Kamarul Shahid
Tiada masa, sudah berumur bukan alasan menambah ilmuBELAJAR sepanjang hayat bermaksud menuntut apa juga bentuk ilmu hingga seseorang itu menghembuskan nafas terakhir. Mereka yang tidak termasuk dalam golongan ini adalah kumpulan manusia yang dianggap 'sudah mati sebelum mereka sebenarnya mati'. Mereka tidak mengambil tahu apa juga yang berlaku di sekeliling mereka.
Takrif belajar sepanjang hayat ialah membina kemahiran dan ilmu secara berterusan bagi kehidupan seseorang sama ada secara formal atau tidak formal. Mereka boleh belajar atau mengambil iktibar daripada sesuatu yang sudah berlaku seperti sejarah atau sesuatu yang baru seperti perkembangan teknologi.
Setidak-tidaknya, seseorang perlu membaca akhbar atau mendalami soal agama untuk mempelajari sesuatu yang baru setiap hari. Belajar bahasa selain bahasa ibunda masing-masing, adalah mempelajari sesuatu yang baru. Di Malaysia saja, bagi orang Melayu, selain bahasa Melayu dan Inggeris, ada bahasa Mandarin dan Tamil boleh dipelajari atau bahasa Arab. Begitu juga bagi orang Cina dan India. Banyak seminar dan forum diadakan membincang soal ini.
Belajar sepanjang hayat dijadikan tajuk perbincangan di seluruh dunia. Setiap negara sama ada daya usaha kerajaan sendiri, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, malah parti politik termasuk MCA di Malaysia, menjadikan belajar sepanjang hayat ini sebagai kempen supaya setiap insan menguasai ilmu. Ia dijadikan agenda penting setiap rakyat. Belajar sepanjang hayat adalah satu nikmat dalam kehidupan. Belajar adalah satu pencarian yang tidak akan berakhir.
Tidak ada seorang pun boleh mendakwa menguasai segala ilmu dunia. Sepandai, sebijak dan sepintar mana sekali pun seseorang itu, ilmu yang dimilikinya hanyalah ibarat setitik air dari sebuah lautan. Begitulah luasnya ilmu.
Konsep belajar sepanjang hayat ini mendapat sokongan seratus peratus di mana saja ia dibincang, dibahas dan diperkenalkan. Tidak ada seorang pun yang membantah idea ini. Belajar sepanjang hayat adalah antara topik istimewa yang tidak ada pandangan negatif di mana saja ia dibincangkan. Ia adalah satu bidang yang sesiapa juga tidak boleh menganggap mereka terlewat untuk belajar sama ada dalam bentuk pelajaran akademik atau apa juga bidang kemahiran. Di kelas muzik juga, kelihatan ramai golongan yang lewat usia, belajar bermain pelbagai alat muzik. Warga emas yang bermain muzik perkara biasa di Eropah, Jepun, India, Timur Tengah dan di mana juga. Seorang penyanyi atau pelakon tidak seharus mengakhiri kerjaya mereka dengan menyanyi atau berlakon.
Universiti Utara Malaysia (UUM) umpamanya menyediakan program khas untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka boleh melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan baru dalam bidang pengurusan dan perniagaan untuk menjadikan industri hiburan lebih menarik. Seorang suri rumah perlu belajar perkara baru seperti psikologi, komunikasi, kekeluargaan dan sebagainya, selain pelajaran agama untuk membolehkan mereka lebih memahami cara mendidik keluarga, atau setidak-tidaknya belajar resipi baru masakan.
Belajar sepanjang hayat tidak bermakna menelaah buku atau menyambung pelajaran untuk memperoleh dua atau tiga ijazah doktor falsafah (PhD) atau sarjana dalam bidang yang berbeza. Belajar bermakna mengambil tahu apa juga bidang atau perkara baru. Sama ada pelajaran ini diperoleh secara teratur atau ‘ad hoc’ tidak menimbulkan masalah asalkan ia sesuatu yang baru.
Setiap orang boleh belajar bagi meneruskan bidang yang sama mereka ceburi atau bidang baru mengikut minat masing-masing. Seseorang profesor mungkin perlu belajar mengenal bunga dan bercucuk tanam yang sebelum ini begitu asing baginya. Profesor Diraja Ungku Aziz umpamanya terus belajar hingga ke hari ini dan mengumpul ribuan pantun Melayu yang dianggap sebagai khazanah bangsa. Ada juga orang yang sudah lewat usia baru mahu belajar mengenai enjin kereta.
Selama ini dia hanya tahu menghidupkan enjin dan memandunya manakala menghantarnya ke bengkel bila ada masalah atau rosak. Seorang doktor atau peguam mungkin boleh belajar menulis untuk membolehkan mereka menulis pengetahuan dan pengalaman mereka supaya menjadi iktibar kepada orang lain. Seorang menteri perlu belajar pelbagai bidang baru sekurang-kurangnya melalui pembacaan untuk memudahkan mereka melakukan perubahan membangunkan rakyat dan negara.
Sudah tentu seseorang Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara perlu mengetahui pelbagai perkara melebihi daripada orang lain. Ini bermakna bangun saja dari tidur hinggalah melelapkan mata, mereka belajar dan terus belajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah seseorang yang mementingkan ilmu dan menerima hakikat bahawa setiap orang perlu belajar sepanjang masa. Pelbagai perubahan yang dilakukannya untuk Malaysia adalah berasaskan ilmu baru yang dipelajarinya dengan pelbagai cara untuk membangun rakyat dan negara ini. Seperti pernah dilaporkan, Najib sendiri mengikuti pelbagai kursus terbaru mengenai Strategi Blue Ocean yang disampaikan oleh penulis buku berkenaan, W Chan Kim.
Hari ini kita dengar ramai yang belajar separuh masa – siang bekerja, malam menghadiri kelas atau kuliah. Semua ini dilakukan kerana mereka sedar pentingnya ilmu dan pelajaran. Walaupun sekarang mereka ialah seorang kerani, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, mereka mungkin dipertimbang ke jawatan lebih tinggi jika mempunyai diploma, ijazah atau ijazah lebih tinggi daripada itu. Tidak ada seorang pun boleh mengatakan bahawa belajar itu adalah sesuatu yang merugikan sama ada dari segi wang, tenaga dan masa. Kerajaan menyediakan segala peluang untuk menggalakkan seseorang itu terus belajar.
Cuba pandang di sekeliling. Setiap perubahan adalah berpunca daripada idea baru yang dijelmakan hasil daripada pelajaran. Ahli sains dan teknologi dalam bidang teknologi komputer dan teknologi maklumat umpamanya, malah jurutera dan juruteknik wajib terus belajar untuk mencipta sesuatu yang baru dan bersaingan. Jika tidak, mereka akan ketinggalan
Berita Harian Online Nikmat belajar sepanjang hayat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan