Khamis, Januari 27, 2011

Belajar : Kembali ke sekolah? Tanya diri anda..


Satu idea yang menarik!  Namun keputusan kembali bergelar pelajar adalah satu keputusan yang serius kerana anda perlu memberikan komitmen yang tidak berbelah-bagi untuk menghabiskan pengajian.  Lihat diri anda dan cari jawapan kepada soalan-soalan ini:
  • Kenapa?
Kenapa anda terfikir untuk kembali belajar?  Adakah disebabkan tuntutan kerja yang memerlukan  anda mempunyai ilmu yang lebih tinggi?  Adakah kerana persaingan di tempat kerja/ dalam keluarga?  Ingin mencapai cita-cita yang belum dicapai?  Atau kini anda ada lebih masa untuk belajar setelah anak-anak dewasa/ anda sudah bersara? 
 Anda perlu mempunyai satu sebab yang 'kukuh' agar ianya menjadi satu pemangkin motivasi anda untuk mengharungi hidup sebagai 'pelajar dewasa' dan seterusnya mencapai kejayaan yang anda idamkan.
  •  Bagaimana dengan tahap kewangan anda ?
Sudah pasti anda perlukan wang untuk membayar yuran pengajian.  Adakah anda mampu?  Biasanya institusi pengajian memberikan beberapa pilihan untuk membayar pengajian anda.  Selain daripada pembiayaan sendiri, anda juga boleh mendapatkan pinjaman daripada bank.  Anda boleh memilih sama ada meminjam melalui pembiayaan pendidikan ataupun pinjaman peribadi.  Selain itu, jangan lupa pada caruman KWSP anda.  Anda boleh mengeluarkan simpanan akaun 2 KWSP anda untuk tujuan pendidikan.  Jika anda memerlukan bantuan kewangan, dapatkan maklumat daripada agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang mungkin memberikan bantuan dari segi tajaan atau biasiswa.  Mungkin juga organisasi tempat anda bekerja juga boleh memberikan biasiswa, malu bertanya sesat jalan!
  • Adakah majikan anda mempunyai dana untuk pendidikan/latihan                                                
Cuba dapatkan maklumat daripada majikan anda sama ada wujud dana untuk tujuan pendidikan atau latihan untuk kakitangan.  Jika ianya ada, rebut peluang untuk mendapatkan tajaan/biasiswa kerana ilmu/kemahiran yang anda perolehi dalam pembelajaran akan disumbangkan kembali untuk kemajuan organisasi di masa hadapan.  Win-win situation!
  •  Adakah ini masa yang sesuai?
Bergelar pelajar dan bekerja pada masa yang sama memerlukan komitmen yang amat tinggi.  Anda perlu kuat semangat dan bijak untuk membahagi masa, apatah lagi jika anda sudah berkeluarga.  Tanya diri anda adakah anda mampu membahagikan masa untuk keluarga, tugas dan tanggungjawab yang  lain. 
  •  Kaedah pembelajaran bagaimana yang sesuai?
Terdapat beberapa kaedah pembelajaran yang anda boleh pertimbangkan: Sepenuh masa, separuh masa atau online.  Di Malaysia terdapat begitu banyak institusi pengajian yang menawarkan program sepenuh masa.  Pertimbangkan sama ada anda sanggup untuk bercuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan andai diperlukan untuk melanjutkan pelajaran.  Namun bagi saya, pembelajaran secara separuh masa atau online lebih sesuai untuk golongan bekerja.  Ada pelbagai institusi pengajian dalam dan luar negara yang menawarkan pengajian berbentuk online.  Namun begitu ianya kurang popular di negara ini walaupun suasana pembelajarannya lebih mudah dan santai kerana kurang pembelajaran bersemuka.  Satu lagi pilihan yang ada adalah kaedah pembelajaran separuh masa.  Pelajar-pelajar hanya perlu menghadiri kuliah pada sebelah malam atau hujung minggu. Penilaian seperti kehadiran, pembentangan, penyertaan dalam kelas dan ujian dilakukan semasa kelas.  Pelajar-pelajar juga 'dibekalkan' dengan tugasan yang perlu disiapkan di luar waktu kelas sebagai penilaian untuk pembelajaran sendiri di rumah.  Walau apa pun pilihan yang dibuat, pastikan ianya bersesuaian dengan diri anda.
  •  Adakah anda mendapat sokongan daripada keluarga?
Menjadi pelajar dewasa tidak semudah kanak-kanak dan remaja kerana anda mempunyai tanggungjawab lain terutama kepada tugas dan keluarga.  Adakah anda memerlukan sokongan atau bantuan daripada orang lain?  Adakah anda perlu seseorang untuk menjaga anak-anak ketika anda menghadiri kuliah?  Adakah majikan anda boleh memberikan cuti untuk anda menghadiri kuliah terutamanya jika anda bekerja pada hujung minggu?
 Kembali belajar adalah satu pelaburan yang amat bijak untuk masa hadapan anda.  Tidak akan sia-sia setiap ilmu yang anda perolehi dan segala pengorbanan yang anda lakukan kerana ia pastinya mendatangkan hasil di kemudian hari.  Menuntut ilmu biarlah sehingga ke liang lahad.  Tidak ada had usia yang menghalang manusia daripada belajar dan memajukan diri sendiri.  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.  Pilihan di tangan anda.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...