Khamis, Disember 01, 2011

Tip Belajar : Rahsia menjadi Best Student untuk pelajar Dewasa

Belajar sambil bekerja memang satu cabaran yang sangat besar.  Komitmen di pejabat, dengan keluarga dan untuk diri sendiri di tambah dengan komitmen belajar perlu dilaksanakan sebaik mungkin.  Sukar untuk jadi pelajar cemerlang?  Tidak sebenarnya ! Yang penting anda perlu ada strategi yang betul dan melaksanakannya secara konsisten.
 Pastikan anda betul-betul minat untuk belajar
 Lebih mudah untuk melaksanakan sesuatu yang kita minat.  Jika anda belajar kerana orang lain, lebih baik anda pertimbangakan keputusan anda untuk kembali bergelar pelajar.  Jangan bazir masa dan wang anda!

Datang kelas
Kenapa penting untuk datang ke kelas?  Sebab markah kehadiran sememangnya wujud!.  Tapi bukan itu sahaja sebabnya ya. Hadir ke kelas bermakna anda berpeluang untuk menerima ilmu secara terus daripada pensyarah anda. Perbincangan, aktiviti dalam kelas, tugasan dan pembentangan yang berlangsung secara tidak langsung membangunkan personaliti anda dari aspek kerjasama sepasukan, keyakinan diri, pembangunan kemampuan 'public speaking' dan sebagainya.  Duduk di bahagian hadapan agar anda dapat mendengar dan melihat alat bantu pembelajaran dengan jelas.  Pensyarah yang perasan konsentrasi anda ketika dalam kelas mungkin akan beri markah tambahan kepada anda, siapa tahu?

Wujudkan tempat belajar khas di rumah
Penting untuk anda memiliki satu ruang belajar untuk di rumah. Tidak perlu besar, yang penting anda selesa untuk mengulangkaji dan membuat tugasan anda.  Apa kata ajak sekali anak-anak anda untuk sama-sama mengulangkaji dengan anda, tiada salahnya bukan?  Yang penting, anda selesa.

Buat jadual
Sediakan satu jadual / planner yang mengandungi semua aktiviti anda.  Jangan sekali-kali asingkan jadual mengikut aspek kehidupan anda seperti belajar, kerja, riadah, masa untuk keluarga dan sebagainya.  Adalah lebih baik andai kesemua aktiviti anda dirangkumkan dalam 1 jadual kerana kesemuanya harus menjadi keutamaan kepada anda.  Apa yang penting, bijak bahagikan masa dan ikut jadual anda dengan penuh berdisiplin!

Belajar berkumpulan
 Anda perlu study smart kerana komitmen diri yang pelbagai.  Study group adalah salah satu cara belajar yang terbaik untuk pelajar dewasa yang bekerja.  Belajar bersama-sama melalui pembacaan dan perbincangan akan memudahkan pemahaman sesuatu topik.  Oleh kerana anda adalah pelajar dewasa yang berpengalaman kerja, kongsikan pengalaman yang mungkin berkaitan dalam sesuatu topik dengan rakan-rakan anda.  Dengan itu, pemahaman akan lebih mudah.  Namun begitu, sila pastikan rakan-rakan sekumpulan dengan anda turut sama serius dalam pembelajaran dan mampu memberikan komitmen terhadap pelajaran.

Buat tugasan anda sendiri
Atasan alasan kekangan masa, memang ada pelajar-pelajar di luar sana mengupah orang lain untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.  Perkara sebegini sangat mengecewakan.  Anda membayar   yuran yang mahal untuk program yang disertai.  Biarlah hasil yang diperolehi setelah selesai pengajian bukan setakat sijil kelulusan, malah juga ilmu yang boleh diaplikasikan di dalam kehidupan anda.  Barulah berkat!
            
Usaha, doa & tawakal
Bagi orang Islam, ini merupakan elemen yang perlu ada dalam mencapai kejayaan.  Usaha sahaja tidak cukup kerana ianya perlu diiringi doa. Tawakal harus juga datang seiring kerana kita umatNya hanya mampu merancang, namun segala ketentuan datangnya dari Ilahi dan perlu diterima dengan hati terbuka.

Selamat Berjaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...