Sabtu, Januari 28, 2012

Tip Kewangan : Nilai Masa Wang

Bajet Bijak: Fahami nilai wang
Oleh Alzahrin Alias
bminggu@bharian.com.my
2012/01/28

Mula menabung sekarang untuk faedah masa depan

BAYANGKAN anda ditawarkan sejumlah wang dan ditanya sama ada anda ingin menerima wang itu sekarang atau setahun kemudian.

Atau fikirkan ini, dengan RM1, apa yang boleh anda beli pada 1990, apa yang boleh dibeli sekarang dan apa yang mampu anda beli pada masa hadapan?
Soalan ini bukanlah sukar. Sesiapa pun pastinya akan memilih untuk memiliki wang berkenaan sekarang. Didorong naluri, anda sedia maklum bahawa wang yang dimiliki sekarang jauh lebih bernilai berbanding wang (jumlah yang sama) pada masa depan.

Ini prinsip penting ekonomi yang menyatakan bahawa selagi wang boleh memperoleh faedah, nilai wang adalah lebih tinggi sebaik saja wang berkenaan diterima.

Konsep ini menjelaskan nilai masa bagi wang, yang juga dikenali sebagai ‘nilai kini terdiskaun’. Cuba anda fahami konsep ini, sekiranya anda mendepositkan wang ke dalam akaun simpanan dengan pulangan kadar faedah lima peratus setahun, RM1,000 yang disimpan sekarang akan mempunyai nilai RM1,050 dalam tempoh setahun (000 x 1.05).

Manakala, RM1,000 yang diterima setahun dari sekarang hanya bernilai RM952.38 hari ini (RM1,000 dibahagi dengan 1.05).
Di sini, pendaraban digunakan apabila jumlah ringgit didepositkan ke dalam akaun yang memperoleh faedah. Ini adalah kerana dari sekarang sehingga masa hadapan, faedah diperoleh secara berterusan.

Pembahagian pula digunakan untuk mewakili kerugian yang dialami sepanjang tempoh jumlah ringgit tidak didepositkan ke dalam akaun simpanan yang memperoleh faedah. Ia adalah semudah itu.

Daripada gambaran ini, anda dapat perhatikan bahawa wang mempunyai nilai masa. Sekiranya perkara lain tetap sama, nilai semasa sejumlah wang sekarang adalah lebih besar berbanding sejumlah wang sama yang diterima pada masa hadapan.

Kuasa faedah kompaun

Pentingkah untuk menyimpan wang bagi tabungan sekarang, jika dibandingkan pada hari kemudian?

Rujuk contoh berikut bagi tiga individu ini. Ahmad melabur pada usia 18 tahun dengan pulangan 10 peratus setahun; Siti melabur pada usia 22 tahun dengan pulangan 10 peratus setahun; Zainal melabur pada usia 30 tahun dengan pulangan 10 peratus setahun.

Setiap daripada mereka melakukan pelaburan simpanan yang sama secara konsisten, RM3,000 dengan jumlah pulangan yang sama sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Bagaimanapun, mereka memulakan pelaburan pada usia yang berbeza-beza. Apabila ketiga-tiga mereka bersara pada usia 55 tahun jumlah wang yang mereka miliki juga banyak berbeza.

Ahmad mempunyai lebih wang berbanding Siti dan Zainal. Dia mempunyai RM467,913 manakala Siti RM449,773 dan Zainal mempunyai RM 360,300.

Ahmad bukan saja mempunyai lebih banyak wang pada usia 55, malah dia juga melabur jumlah wang yang paling sedikit, iaitu RM15,000 berbanding Siti yang melabur RM24,000 dan Zainal RM75,000.

Hasil contoh terbabit berpunca daripada faedah kompaun iaitu faedah tambahan yang diperoleh atas jumlah simpanan asal ditambah dengan faedah yang diterima.

Kuasa faedah kompaun menunjukkan bahawa jika anda menabung lebih awal maka lebih tinggi faedah terkumpul yang diperoleh dalam pelaburan asal anda.

Secara ringkas, lebih banyak wang disimpan sekarang lebih cepat bagi anda memenuhi impian anda. Jadi, bilakah masa terbaik untuk memulakan simpanan.

Jawapannya ringkas saja, pastinya ‘sekarang’ juga!

Berita Harian Online Bajet Bijak: Fahami nilai wang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...